KUALA LUMPUR: Pemain skuad kebangsaan, Faisal Halim, kini menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) susulan kejadian disimbah asid di sebuah pasar raya di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pemain sayap itu juga memerlukan beberapa pembedahan ekoran kecederaan dialami.

Memetik laporan portal berita The Star, Shahril berkata, Faisal kini dirawat selepas mengalami kelecuran tahap empat berbanding tahap dua seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menurut beliau, pihaknya ada melawat Faisal di hospital dan dia boleh bercakap dalam nada yang perlahan.

Malah katanya, Selangor FC juga telah memindahkan Faisal ke hospital panel memandangkan dia memerlukan rawatan lanjut susulan keadaannya yang teruk hingga terutama di lengan bahagian kiri.

Pada Ahad, Faisal dilaporkan cedera di muka dan badan dipercayai akibat disimbah asid di sebuah kompleks beli belah di Kota Damansara.

Sementara itu, pada 2 Mei, Pemain Kebangsaan dan juga Terengganu FC, Akhyar Rashid diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu, Terengganu.